Pelantikan Tok Abah mampu bina imej positif Kerajaan Madani

PONTIAN - UMNO menaruh harapan agar Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dapat menangani lambakan berita palsu yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani dan membina imej positif dalam kalangan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelantikan Datuk Ismail Yusop atau Tok Abah sebagai Ketua Pengarah J-KOM yang baharu tepat memandangkan beliau cukup memahami konsep Madani.
"Tok Abah amat memahami tentang konsep Madani dan beliau sebelum ini telah anjurkan tentang program Madani.
"Malah saya sendiri hadir dalam program terbabit dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya berharap beliau akan menjalankan tugas sebagai pengarah JKOM yang berkesan untuk menangkis apa juga fitnah daripada pihak luar dan melaksanakan apa juga program kerajaan dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Hari Terbuka Parlimen Pontian di Bangunan UMNO di sini, pada Ahad.
Pada Khamis, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM),Datuk Ismail Yusop yang juga dikenali sebagai Tok Abah kini dilantik menjadi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) baharu.
Ismail sebelum ini pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah J-KOM dilantik ke jawatan Ketua Pengarah J-KOM bagi menggantikan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan kontrak, pada September tahun lalu.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pendekatan hari terbuka peringkat Parlimen Pontian memberi peluang kepada penduduk untuk mengadukan sebarang masalah.
Jelasnya, seawal jam 8 pagi penduduk sudah hadir ke lokasi penganjuran hari terbuka sama ada di kawasan Benut atau bandar Pontian diadakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!