X

Kindly register in order to view this article
!

Representasi Hasanah ditolak

Hasanah
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan representasi yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dalam pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta ditolak oleh Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad mengesahkan perkara itu ketika pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Terdahulu, Muhamad Iskandar turut memaklumkan kepada mahkamah, Hasanah sudah melantik pasukan pembelaan yang baharu bagi mewakilinya dalam kes ini.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh mengesahkan perkara berkenaan dan ia akan dikendali bersama barisan peguam lain iaitu Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Norfaida Mohd Rashidee.

“Beberapa dokumen berkaitan kes ini telah diserahkan oleh anak guam saya,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Hasanah melalui barisan peguam terdahulu menghantar representasi berkaitan kesnya kepada Peguam Negara.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bagi kes ini dijalankan selama 11 hari bermula 5, 6 dan 8 Oktober; 12 hingga 15 Oktober serta 19 hingga 22 Oktober.

Ahmad Shahrir juga menetapkan 23 Mac untuk pengurusan kes iaitu persediaan bagi pasukan pembelaan mendapatkan dokumen yang diperlukan daripada peguam terdahulu.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 dan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.