Melly Goeslaw tunai janji, siri ketiga konsert 31 Mei depan

Melly bersama suaminya, Anton.
Melly bersama suaminya, Anton.
A
A
A

KOMPOSER dan penyanyi popular Indonesia Melly Goeslaw menunaikan janji untuk mengadakan konsert siri ketiga Ada Apa Dengan Melly..? di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 31 Mei depan.

Selepas Ada Apa Dengan (Melly Back To School) dan Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) masing-masing pada Februari 2023 serta Jun 2024, Melly memilih tema 'Prom Nite'.

Melly, 51, berkata, pada konsert anjuran Icon Entertainment itu akan menampilkan sesuatu yang berbeza, istimewa dan pastinya tidak pernah dibawa sebelum ini.

"Kejutan ini tidak pernah terjadi mahupun di Malaysia atau Indonesia, kami cuba untuk tidak mengecewakan peminat yang hadir. Ada gimik, sesuatu yang diberikan penonton, pasti 'keren banget'.

"Pada majlis itu juga, kita akan memilih Prom King dan Queen. Ia pasti akan menjadi suatu majlis tari menari yang sangat meriah," katanya pada sidang media Ada Apa Dengan Melly..? Prom Nite di Dadi Cinema, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ditanya mengenai persiapan untuk konsert, pelantun lagu Ku Bahagia itu mendedahkan perlu menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram supaya lebih cergas.

"Temanya parti, harus banyak lagu untuk meloncat (melompat) yang akan dipilih. Jadi, saya perlu turun berat badan supaya mudah untuk menari bersama peminat yang hadir.

"Pemilihan lagu-lagu juga pastinya berbeza daripada dua konsert sebelum ini. Saya ada 600 buah lagu, jadi sebelum ini baru guna 60 buah lagu, jadi masih banyak pilihan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga merancang untuk mengadakan segmen dedikasi untuk penyanyi popular nanti," katanya yang sekali lagi menggunakan khidmat pereka fesyen popular Ezuwan Ismail untuk rekaan busananya.

Peminat yang ingin menari bersama Melly boleh mendapatkan tiket RM 558 (Prom Kayangan), RM 428 (Pesona Malam), RM 328 (Malam Dipagari Bintang), RM 258 (Gala Glamor (Standing), RM 228 (Magis Cahaya Bulan) menerusi www.ticket2u.com.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!