Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kebakaran di Turkiye

Pasukan mencari dan menyelamat berada di lokasi Horel Grand Kartal di Kartalkaya di pergunungan Bolu, Turkiye yang terbakar. - AFP
Pasukan mencari dan menyelamat berada di lokasi Horel Grand Kartal di Kartalkaya di pergunungan Bolu, Turkiye yang terbakar. - AFP
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kebakaran yang berlaku di Hotel Grand Kartal di Resort Ski Kartalkaya, Bolu, Turkiye.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul sedang memantau rapi perkembangan susulan insiden kebakaran tragik itu.

"Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut. Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Republik Turkiye serta keluarga dan mangsa yang terlibat.

"Malaysia bersama bersolidariti dan mendoakan agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi waktu yang sukar ini," katanya pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan Gabenor Bolu, Abdulaziz Aydin berkata kebakaran bermula sekitar 0027 GMT di kawasan restoran hotel itu sebelum merebak dengan pantas ke seluruh bangunan.

Pasukan kecemasan dari bandar berdekatan termasuk bomba, unit tindak balas bencana dan pasukan perubatan yang disokong oleh helikopter digegaskan ke lokasi kejadian.

Sehingga kini, kejadian tersebut telah mengorbankan 76 nyawa dan mencederakan 51 orang.

Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan, untuk sebarang bantuan konsulat boleh hubungi pihak kedutaan di alamat Büyükesat, Koza Sk. No:56, 06700 Çankaya/Ankara atau talian (90) 312 44635 47/48 atau (90) 507 8128406 (selepas waktu pejabat) dan menerusi mwankara@kln.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Bagi konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul pula di alamat Esentepe Mah. Ali Kaya Sok. No:1/1B Polat Plaza, B Blok, Kat:8, 34394 Levent/Sisli, Istanbul dan hubungi talian (90) 212 98910 01/09 atau (90) 531 7160551 (selepas waktu pejabat) serta menerusi mwistanbul@kln.gov.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!