Kedai serbaneka disimbah cat merah, UM buat laporan polis

SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) membuat laporan polis berhubung insiden simbahan cat yang berlaku di sebuah kedai serbaneka dalam kawasan kampus universiti itu pada Selasa.
UM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan komited memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
"UM juga menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diharapkan tampil bagi membantu siasatan," kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, UM menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang dikatakan mempunyai unsur daging babi.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
Menurut UM, pihak universiti juga digesa menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut bagi memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, makluman kejadian diterima pihaknya berdasarkan laporan yang dibuat pada jam 8 pagi.
Katanya, siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!