Pusingan kerja tingkat kepakaran, kemahiran pegawai kastam

SHAH ALAM - Seramai 840 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat dalam pusingan kerja pada tahun lalu, bagi mempertingkat kepakaran, kemahiran serta pengalaman.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pusingan kerja pegawai pelbagai gred itu bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan kepada reformasi sektor awam, tetapi juga bagi mempertingkatkan kompetensi dan produktiviti pegawai serta integriti perkhidmatan JKDM.
Katanya, ia juga bagi menambah pengalaman dan kepakaran sedia ada pegawai.
"Pelaksanaan ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kaedah Penempatan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkenaan Penempatan), Ceraian UP.2.2.1, dan Perintah Tetap Perjawatan Bilangan 78 (Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM).
"Langkah strategik ini diambil bagi meningkatkan kepakaran, kemahiran serta pengalaman warga JKDM bagi memenuhi keperluan 'job enhancement' warga jabatan, sekali gus memastikan keseimbangan fungsi dan keberkesanan pelaksanaan tugas demi kepentingan kemajuan kerjaya warga pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kitaran kerja ini dirancang untuk memastikan setiap pegawai terdedah kepada pelbagai aspek operasi bagi membangunkan kemahiran baharu serta meningkatkan integriti dan ketelusan melalui peralihan tanggungjawab yang berkala.
Ujarnya, ia memberi peluang kepada pegawai untuk meningkatkan kecekapan individu dan pasukan melalui pendedahan kepada pelbagai peranan di samping mengekalkan keseimbangan beban kerja antara bahagian-bahagian kritikal dengan memastikan tenaga kerja yang mencukupi dan kompeten.
"Selain itu, inisiatif ini bertujuan memelihara integriti warga kastam yang mengisi jawatan berisiko dan terdedah kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah akibat terlalu lama bertugas di satu-satu tempat," ujarnya.
Jelasnya, pelaksanaan pusingan kerja itu juga telah berjaya memecahkan silo mentaliti dalam kalangan warga kerja apabila pegawai didorong untuk memahami keseluruhan fungsi jabatan dan tidak berfokus kepada sesuatu fungsi sahaja.
"Ini dapat memupuk budaya kerjasama dan mengurangkan halangan komunikasi antara bahagian," katanya.
Menurutnya, langkah strategik melalui pendekatan pusingan kerja ini secara tidak langsung telah memberi impak yang signifikan kepada prestasi JKDM, termasuk pencapaian kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion bagi tahun lepas.
"Angka ini mencatatkan peningkatan RM10.40 bilion atau 18.85 peratus berbanding tahun 2023, sekali gus menunjukkan keberkesanan strategi ini dalam memperkukuh keberhasilan jabatan," ujarnya.
Tegasnya, dengan semangat kerjasama yang kukuh, JKDM dapat membina pasukan yang cekap, tangkas dan berintegriti dalam memenuhi cabaran semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!