Polis buru pemandu kereta warna kuning

BATU PAHAT - Polis sedang memburu pemandu kereta berwarna kuning yang meloloskan diri dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Yong Peng Utara di sini, pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada jam 1 tengah hari itu berlaku semasa kereta peronda polis (MPV) melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Siren dibunyikan dan 'beacon light' dinyalakan serta pemandu diarahkan menghentikan kereta dengan pembesar suara dan isyarat tangan.
"Suspek kemudian berhentikan kereta namun enggan bekerjasama untuk pemeriksaan lanjut dilakukan anggota polis sambil menunjukkan seorang wanita sedang memegang bayi di tempat duduk penumpang.
"Suspek kemudiannya bertindak nekad memecut laju kenderaannya untuk melarikan diri daripada diperiksa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Shahrulanuar, dalam kejadian itu tidak berlaku pelanggaran kenderaan atau kecederaan mana-mana pihak.
Jelas beliau, suspek telah dikenal pasti dan usaha sedang giat dilakukan untuk menahan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Muhammad Faidz Md Khalid di talian 017-3245137 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Sebelum itu, tular beberapa video memaparkan kejadian terbabit yang dirakam orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!