Siti Nurhaliza kesal, single 7 Nasihat dimuat naik secara tidak sah di Youtube

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kesal apabila single terbaharunya, 7 Nasihat duet bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta yang dilancarkan pada jam 12 tengah malam tadi telah dimuat naik secara berleluasa di saluran Youtube.

Tindakan beberapa individu terbabit yang cuba mengambil kesempatan menaikkan jumlah tontonan di laman YouTube peribadi masing-masing menerusi muat naik secara tidak sah itu dilihat sebagai tidak bertangggungjawab.

Siti menerusi laman Instagramnya pada pagi ini memohon agar pihak terbabit memadam video tersebut dan menghormati hak cipta dan karya insan seni.

“Tujuh Nasihat baru saya dilancarkan sejak tengah malam tadi. Dukacita, sudah banyak yang memuat naik dan meletakkan di dalam youtube masing-masing. Saya mohon agar anda menghormati hakcipta dan karya insan seni,” ujarnya kesal.

Dalam masa yang sama, penyanyi Anta Permana itu juga meminta agar para peminat membantunya dengan cara membuat laporan terhadap akaun Youtube terbabit.

“Pihak syarikat saya, SNP dan Universal Music akan segera memantau hal ini. Saya mohon agar anda yang berbuat demikian dapat memadamkan video tersebut sebelum laporan dibuat untuk tindakan selanjutnya,” tegas Siti.

Lagu 7 Nasihat merupakan karya ciptaan rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu tersebut.

Semenjak teaser single ini dikongsikan Siti baru-baru ini, ramai peminat yang tidak sabar dan menantikan pelancarannya.

Artikel Berkaitan:

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula tengah malam tadi.