Dua lelaki ditahan seludup 11 kerbau

PASIR MAS - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kerbau selepas menahan dua lelaki di Kampung Repek di sini pada Isnin.
Dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun itu ditahan pada jam 2.30 pagi bersama 11 ekor kerbau dianggarkan seberat lebih 9,000 kilogram bernilai hampir RM242,000, termasuk sebuah lori menerusi penugasan Op Taring Warisan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, semasa rondaan pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menjumpai 11 ekor kerbau dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram.

"Kedua-dua suspek itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kerbau tersebut ke pasaran tempatan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Katanya, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!