Kisah hidup Intan Juliana dapat perhatian, UMK setuju biaya yuran pengajian

SHAH ALAM - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersetuju membiayai yuran pengajian hingga tamat belajar kepada pelajarnya, Intan Juliana selepas video mengenai kesusahan hidupnya dikongsikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Khabar gembira tersebut didedahkan Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebooknya, setelah dihubungi sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail.
Menurutnya, UMK akan membiayai yuran pengajian bermula semester depan selain turut akan memberi bantuan komputer riba kepada pelajar tersebut.
“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima mesej daripada Timbalan Naib Canselor UMK berhubung bantuan yang akan diberikan kepada Intan Juliana.
“Baru sahaja semalam saya kongsikan video, terus dapat perhatian pihak UMK. Terima kasih,” tulisnya.
Pada Ahad, Asyraf Wajdi memuat naik video berdurasi dua minit memaparkan keadaan Intan Juliana sekeluarga yang tinggal di ruang kecil terletak di kedai rehat dan rawat (R&R) Gerik, Perak.
Pelajar tersebut berkongsi masalah yang dihadapi dia sekeluarga sejak November lalu menerusi pesanan mesej kepada Asyraf Wajdi.
Dalam mesej tersebut, Intan dengan penuh harapan memaklumkan, ruang yang sempit serta keadaan tidak selesa menyukarkan adik-beradiknya mengulang kaji pelajaran.
Lebih memilukan, dia sekeluarga juga terpaksa bergantung kepada tandas awam untuk kegunaan harian.
“Saya tersentuh dengan keberanian Intan menghubungi saya tanpa pengetahuan ibu bapanya. Katanya, dia tidak mahu membebankan mereka tetapi pada masa yang sama nekad untuk membantu keluarga.
“Anak kecil ini dengan berani meminta sedikit perhatian dan bantuan agar keluarganya dapat keluar dari situasi penuh dugaan,”katanya.
Susulan itu, Asyraf berkata, situasi menimpa Intan sekeluarga telah diutarakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ujarnya, permohonan itu telah meluluskan lawatan tapak pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Semoga usaha kecil ini mampu membawa sinar harapan dan perubahan besar kepada kehidupan Intan sekeluarga.
“Saya percaya setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang untuk hidup dalam keadaan lebih baik terutama demi pendidikan dan masa depan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!