Seven Bank Jepun berkembang ke Malaysia, sasar CRM 100 unit di 7-Eleven tahun ini

PERNIAGAAN perbankan kumpulan 7-Eleven di Jepun, Seven Bank Ltd telah mengembangkan perniagaannya ke Malaysia, menyasarkan untuk memasang 100 unit Mesin Kitar Semula Tunai (CRM) di kedai 7-Eleven terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang tahun ini.
CRM, yang akan dikenali di bawah jenama, Reachful turut menawarkan khidmat mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM).
Presiden dan Pengarah Wakil Seven Bank, Masaaki Matsuhashi berkata, syarikat itu juga merancang untuk berkembang ke lebih banyak kawasan menjelang 2026 meliputi Sabah, Sarawak dan kawasan pinggir bandar tertentu di seluruh Malaysia.
Katanya, pengembangan ke Malaysia adalah yang keempat di luar Jepun, selepas Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina dengan lebih 21,000 ATM dipasang setakat 2024.
Pada masa ini, terdapat 2,600 kedai 7-Eleven di Malaysia.
"Melalui kerjasama dengan syarikat rakan kongsi kami untuk penggunaan perkhidmatan ATM di kedai 7-Eleven di Malaysia, kami berharap dapat memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia selain menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya pada majlis pelancaran di sini pada Isnin.
Menurut Paynet, rangkaian pembayaran nasional Malaysia, kajiannya pada 2022 mendedahkan bahawa 78 peratus rakyat Malaysia masih memilih pembayaran tunai, kajian yang sama mendapati 48 peratus Malaysia masih menggunakan wang tunai setiap hari, dengan penggunaan mencecah dua pertiga dalam kawasan bukan bandar.
Kajian IPSOS 2024 yang lebih terkini menunjukkan bahawa 45 peratus rakyat Malaysia masih bergantung kepada wang tunai untuk pembayaran.
"Walaupun Malaysia secara beransur-ansur sedang menerima kaedah pembayaran digital, keperluan untuk tunai fizikal masih jelas serta kekal menjadi bahagian penting dalam landskap pembayaran, terutamanya di kawasan bukan bandar dan dalam kalangan demografi tertentu,” kata Pegawai Eksekutif Pengurusan dan Ketua Perniagaan Luar Negara Seven Bank, Tsuneo Nagashima.
Syarikat itu juga akan mempertimbangkan untuk mengembangkan CRM di luar kedai 7-Eleven seperti pusat beli-belah serta stesen minyak, bergantung kepada permintaan dan keperluan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Tan U-Ming berkata, menerusi kerjasama tersebut, ia berharap dapat menangani keperluan dalam meningkatkan kemudahan dan akses yang lebih besar kepada perkhidmatan kewangan.
Syarikat itu juga akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan pada masa hadapan, bergantung kepada keperluan pelanggan, katanya lagi.
Sebelum ini, Reachful Malaysia dikenali sebagai Abadi Tambah Mulia Internasional Malaysia Sdn Bhd. Syarikat itu ditubuhkan pada 30 Mei 2024. Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
