10 individu proses e-waste diberkas

KLANG - Seramai 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan memproses sisa elektronik atau 'e-waste' secara haram dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Ladang Sungai Puluh, di sini, pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Jafri Muhamad berkata, pihaknya telah menahan tiga lelaki warga China, tiga lelaki warga Myanmar dan masing-masing dua lelaki warga tempatan serta Bangladesh berusia 30 hingga 53 tahun.
"Hasil pemeriksaan ke atas premis telah menjumpai sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di dalam jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekelling (Buangan Terjadual) 2005," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, Op Bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan turut merampas pelbagai jenis tembaga seberat 280 tan.

"Kita turut merampas pelbagai jenis aluminium seberat 60 tan, dua buah mesin pemotong kabel, sebuah mesin pemampat tembaga dan besi, tujuh buah mesin pengisar dan enam forklift serta tiga kontena yang dianggarkan bernilai RM18,722,400.
"Kita merampas sepucuk pistol angin tiruan [ball bearing] semi auto dan sejumlah anak kelongsong peluru pelbagai saiz," katanya.
Jafri berkata, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar atas kesalahan premis beroperasi tanpa mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 34A, Kebenaran Bertulis Seksyen 19, Lesen Seksyen 18, Seksyen lanjut di Bawah Seksyen 34B dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974," katanya.
Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Klang Utara untuk tindakan selanjutnya.
"Kita menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
