Mayat wanita Thailand berlumuran darah ditemui di tandas

JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita dipercayai warga Thailand ditemukan berlumuran darah dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, mayat berkenaan dipercayai ditemukan sekitar jam 2.28 petang oleh orang awam.
“Hasil siasat polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah berkaitan dengan penemuan mayat tersebut.
“Identiti mangsa juga masih dalam siasatan dan mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
