Satu maut, lima termasuk bayi parah nahas dua kenderaan

BATU PAHAT – Seorang maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Taman Bahagia, Jalan Ayer Hitam-Kluang, di sini, malam Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penguasa Bomba Kanan I Isyadi Dani berkata, seramai enam anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, kemalangan melibatkan kenderaan ulititi sukan (SUV) Toyota Avanza dan kereta Proton Saga BLM.
"Seorang wanita yang tersepit di dalam kereta Proton Saga BLM maut di lokasi kejadian manakala empat termasuk bayi lelaki dalam kenderaan itu parah.
"Pemandu Toyota Avanza iaitu lelaki dewasa juga mengalami kecederaan parah namun identiti kesemua mangsa masih belum diketahui," katanya.
Ujar Isyadi, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak perubatan.
"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.57 malam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
