Tiga termasuk pelajar kolej maut, nahas empat kenderaan

REMBAU - Tiga lelaki termasuk seorang pelajar kolej maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 226.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, Senawang- Ayer Keroh pada awal pagi Rabu.
Kejadian jam 5.40 pagi itu melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah lori muatan tanah dan bunga dengan tiga kereta masing-masing jenis Honda City, BMW dan Toyota Vios.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, tiga mangsa maut merupakan pemandu lori berusia 73 tahun, kelindannya warga Bangladesh, 44, dan pelajar sebuah kolej di Kuala Lumpur, 21.
"Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang memandu di lorong kiri.
"Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan itu telah hilang kawalan dan melanggar besi penghadang sebelah kanan jalan seterusnya terbabas ke kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, pada masa sama, Honda City yang datang dari arah belakang memandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar lori tersebut, sebelum BMW dan Toyota Vios dari arah sama tidak dapat mengelak lalu berlanggar secara berturutan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu lori dan kelindannya mengalami parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian, manakala penumpang Honda City disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di Hospital Rembau.
"Enam lagi mangsa mengalami parah dan dua lagi cedera ringan. Kesemua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Katanya, siasatan lanjut mengenai kejadian masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!