Lima sekeluarga maut nahas dua kenderaan

PEKAN – [DIKEMAS KINI] Lima sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, pada petang Sabtu.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin dan BBP Nenasi dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 7.14 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dan Proton Wira Aeroback.

“Operasi menggunakan pelbagai jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Toyota Hilux, Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bagi memberikan bantuan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, seorang lelaki dan wanita yang berada dalam Nissan Grand Livina mengalami kecederaan, manakala lima mangsa tersepit dalam Proton Wira Aeroback.
Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan kelima-lima mangsa yang tersepit.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Wan Ahmad Fadillah berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, identiti lima beranak yang maut dalam kemalangan berkenaan sudah dikenal pasti.
Beliau berkata, pekerja bengkel dan juga pemandu Proton Wira Aeroback itu ialah Hamzah Zahari, 52, yang menetap di Kampung Nenasi Pantai, Pekan maut bersama isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, dan anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4.
"Pemandu dan penumpang Nissan Grand Livina yang cedera dalam kejadian itu adalah pasangan suami isteri, bertugas sebagai penjawat awam serta menerima rawatan di Hospital Rompin," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa sekeluarga dari Rompin menghala ke Nenasi, manakala pemandu MPV arah Kuantan menghala ke Rompin.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar MPV yang sedang bergerak lurus," katanya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

