Kepastian dalam isu peralihan kuasa

No Image Caption
A
A
A

KINI terdapat kepastian mengenai isu peralihan kuasa apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mengesahkan pada Jumaat lalu (14 Februari) bahawa beliau akan melepaskan jawatannya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November tahun ini.

Dua hari lalu, ketika memberi ucaptama pada Persidangan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai anjuran Institut Darul Ehsan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga secara terbuka mengatakan kesediaannya menunggu enam bulan lagi untuk membolehkan Dr Mahathir melepaskan jawatannya kepada beliau.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju peri pentingnya memberi tumpuan kepada ekonomi negara yang menghadapi cabaran ketidaktentuan dalam ekonomi dunia serta cabaran ekonomi terkini akibat epidemik koronavirus (Covid-19).

Ini adalah perkembangan yang sangat baik untuk negara kerana ia dapat melenyapkan sehingga ke akar umbi ketidakpastian yang boleh memberi kesan buruk terhadap pembangunan politik dan ekonomi negara.

Semua isu lain berkaitan isu peralihan seperti membentuk kerajaan pintu belakang, undi keyakinan kepada Perdana Menteri atau undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri hanyalah drama gangguan yang juga akan lenyap dengan sendirinya selagi pelakon utama dalam isu peralihan kuasa – Perdana Menteri dan Perdana Menteri dalam menunggu – bersatu padu dan komited bagi memastikan kelicinan proses peralihan.

Pelabur asing dan pengurus dana terutamanya yang berpandangan jauh perlu ambil perhatian. Oleh kerana kini protagonis berada di laman yang sama, mereka perlu yakin peralihan kuasa akan berlaku akhir tahun ini dan mereka juga harus mengelakkan strategi ‘tunggu dan melihat’ dalam memutuskan untuk melabur di Malaysia sekarang ini.

Dan nampaknya melalui perbualan dengan beberapa pemimpin perniagaan setempat, mereka juga telah memutuskan untuk menggunakan strategi yang sama sehinggalah ketidakpastian dalam isu peralihan kuasa diselesaikan.

Kelesuan

Ia sememangnya telah diselesaikan sekarang ini dan tidak sepatutnya ada kelesuan (inertia) di pihak kedua-dua pelabur asing dan setempat untuk bertindak dalam memastikan pembangunan ekonomi negara bergerak pantas.

Artikel Berkaitan:

Meskipun negara kini berdepan pelbagai cabaran ekonomi, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody's dan Fitch akur mengenai asas ekonomi negara yang kukuh dan komitmen kerajaan melaksanakan reformasi ke atas institusi negara dalam kenyataan terbaharu mereka.

Moody dalam kenyataannya pada 16 Januari menyebut ekonomi Malaysia yang kompetitif, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh dan institusi yang berkesan antara sebab di sebalik keupayaan negara untuk mengekalkan penarafan kredit berdaulatnya pada A3 dengan prospek yang stabil.

Ia lebih baik berbanding beberapa negara yang mengalami kemerosotan dalam penarafan kredit mereka.

Fitch Ratings pula dalam kenyataannya pada 31 Januari berkata, tanggapan pelabur asing terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) amat penting bagi Malaysia memandangkan pegangan bon domestik kerajaan oleh pelabur asing adalah sekitar 20 peratus – walaupun agak rendah berbanding dengan paras 33 peratus pada 2016 dan kurang daripada 39 peratus berbanding Indonesia. Ia juga berkata pelaburan langsung asing boleh menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.

“Malaysia berpotensi mendapat manfaat penempatan semula pengilangan dari China yang berorientasikan eksport. Setakat ini, kepelbagaian eksport Malaysia yang merangkumi komoditi dan barangan pembuatan, telah meningkat dengan baik, dan pertumbuhan KDNK dianggar oleh Fitch pada 4.5 peratus pada 2019 dan 4.3 peratus pada 2020.”

Walaupun kenyataan agensi penarafan antarabangsa itu dibuat di tengah-tengah wabak Covid-19 yang masih pada hari-hari awal sejauh menilai impak sepenuhnya terhadap ekonomi, kerajaan sangat proaktif dalam memikirkan tentang pakej rangsangan membantu rakyat dan ekonomi, yang diutarakan buat pertama kalinya oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan akan diumumkan oleh Dr Mahathir pada Khamis ini.

Mengenai pembangkang dan drama politik mereka, adalah sangat bijak jika mereka mendengar gesaan dua pemimpin mereka sendiri, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata Malaysialah yang memerlukan undi keyakinan dan politik mesti mengambil tempat belakang berhubung dengan isu peralihan kuasa.

Atau Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang telah berkata, pada masa lalu isu peralihan kuasa daripada Perdana Menteri ketujuh kepada Perdana Menteri kelapan adalah urusan dalaman PH yang boleh diputuskan oleh 138 Ahli Parlimennya.

“Hanya jika PH gagal mencapai kata sepakat, barulah perlu blok pembangkang untuk mengambil pendirian,” katanya.

Ia kini telah diselesaikan. Anwar jelas mengatakan walaupun ada dakwaan penglibatan anggota Parlimen daripada partinya, perkara penting masih merupakan kedudukan rasmi PKR dan kepimpinan PH.

“Tidak apa-apa. Titik utama adalah kedudukan parti dan PH yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh dan saya sebagai Perdana Menteri kelapan," katanya.

Bagi ahli politik yang mahukan Dr Mahathir untuk berkhidmat sepenuh penggal sebagai Perdana Menteri, kenapa mereka begitu tegar dalam hal ini apabila Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hasratnya untuk menyerahkan jawatannya kepada Anwar menjelang akhir tahun ini.

Begitu juga, bagi pemimpin dan anggota PKR yang mahu peralihan kuasa berlaku pada Mei ini, mengapa mereka harus menegaskan itu apabila pemimpin mereka sendiri telah bersetuju untuk menunggu enam bulan lagi.

Marilah kita tinggalkan real politik dalam isu ini dan biarkan saja kedua-dua pemimpin karismatik menyelesaikannya sendiri sesama mereka termasuk meletakkan garis masa yang membawa kepada peralihan kuasa.

* Jamari Mohtar ialah Pengarah, Media dan Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh