Pasukan mana berupaya cabar JDT?

Kehebatan JDT pada musim lalu sukar dicabar mana-mana pasukan.
Kehebatan JDT pada musim lalu sukar dicabar mana-mana pasukan.
A
A
A

TIRAI Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan disingkap secara rasmi pada 28 Februari ini dengan sepak mula membabitkan perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Melihatkan senarai 12 pasukan yang berentap memburu trofi kejuaraan Liga Super 2020, JDT pastinya sekali lagi dilabel sebagai calon utama untuk bergelar juara.

Dengan reputasi gah selaku juara Liga Super enam musim berturut-turut, maka bukan sesuatu yang mengejutkan jika Harimau Selatan berada dalam senarai pilihan ‘sang juara’.

Dengan ramuan juara yang dimiliki sejak beberapa musim lalu, JDT kendalian Benjamin Mora dilihat memiliki barisan ‘serba sempurna’ di setiap posisi. Kehadiran dua muka baharu yang cukup berpengaruh dalam Liga-M – Liridon Krasniqi dan Matthew Davies – bakal menambahkan lagi taring Harimau Selatan.

Bukan mahu menidakkan kemampuan pasukan lain, ditambah pula dengan keampuhan yang ada pada JDT, skuad Selangor, Kedah dan Pahang atau berkemungkinan Terengganu FC (TFC) serta Perak boleh diletakkan sebagai calon pencabar Harimau Selatan.

Selangor, misalnya, dilihat benar-benar bersedia merampas trofi kejuaraan di tangan JDT. Berbekalkan sentuhan B Sathianathan selain kelibat beberapa tonggak baharu termasuk pemain tengah, Brendan Gan, Gergasi Merah tampak mampu menghadirkan ancaman luar biasa buat Harimau Selatan kali ini.

Kedah juga tidak kurang hebatnya dalam membina persiapan menghadapi kempen musim ini. Dua penyerang import berbisa dibawa masuk iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche selain penampilan pemain sayap baharu, Hadin Azman menjadi sandaran Lang Merah bagi menggempur kubu lawan.

Berbeza dengan Selangor dan Kedah, Pahang pula dilihat lebih ‘berahsia’ bagi mengharungi musim baharu 2020. Tiada nama besar dibawa masuk, sebaliknya Pahang kehilangan khidmat tonggak pertahanan kental yang juga kapten, Matthew Davies. Namun, kekuatan Tok Gajah tidak harus dipandang sepi bersandarkan rekod cemerlang mereka dalam beberapa musim lalu.

Artikel Berkaitan: