Pencipta kandungan ucap selamat tinggal kepada TikTok

SACRAMENTO - Aplikasi TikTok telah dikeluarkan daripada gedung aplikasi utama di Amerika Syarikat (AS) pada lewat Sabtu, lapor Xinhua.
Pencipta kandungan yang menjangkakan langkah itu telah membanjiri platform dengan ucapan selamat tinggal penuh emosi, penghormatan yang menimbulkan nostalgia, dan menyatakan kebimbangan terhadap kehilangan ruang yang telah membentuk budaya dalam talian serta melonjakkan kerjaya mereka.
Hantaran yang menyedihkan daripada Emily Senn, seorang penyanyi dengan 347,600 pengikut menyuarakan ketidakpastian yang dihadapi pencipta.
"Saya tidak akan mempercayai anda (Kerajaan AS) lagi kerana anda dengan begitu sahaja, telah mengambil sumber pendapatan dan mata pencarian berjuta-juta orang. Siapa yang melakukan perkara seperti itu?" katanya dengan penuh emosi dalam hantaran TikTok yang tular.
Responsnya yang beremosi mencerminkan kebimbangan dalam kalangan pencipta kandungan yang membina kerjaya dan komuniti mereka di platform itu.
Bagi sesetengah pihak, TikTok lebih daripada sekadar hiburan.
Penyanyi Charlie Puth menyentuh emosi pengguna dengan mempersembahkan lagu meletupnya See You Again, yang sering dikaitkan dengan perpisahan.
Sementara itu, penyanyi Victoria Paris, dengan 1.9 juta pengikut, meluahkan rasa kecewa apabila platform itu ditutup sebelum beliau sempat mencapai kejayaan besar.
"Semuanya menyakitkan,” katanya kepada pengikutnya dalam satu hantaran beberapa jam lepas.
Dalam nada yang lebih positif, penyanyi Doechii pula memberikan harapan kepada para pengikutnya.
"Kita pernah bertahan selepas Vine, anda juga akan bertahan," katanya, merujuk kepada aplikasi media sosial popular yang ditutup pada 2017 berikutan cabaran dalam mendapatkan pendapatan dan mempertahankan pencipta.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau kini berada di platform alternatif, RedNote dan menggalakkan pengikutnya untuk berpindah ke sana.
RedNote, sebuah aplikasi media sosial China muncul sebagai alternatif popular untuk pengguna TkTok. Ramai pencipta termasuk Doechii menggesa pengikut menyertai mereka di sana.
TikTok memberi amaran bahawa pada Jumaat, ia akan menjadi "gelap pada 19 Januari" tanpa jaminan daripada pentadbiran Presiden Joe Biden. Bagaimanapun, pentadbiran itu menyatakan keputusan akhir akan dibuat oleh Presiden Terpilih Donald Trump.
Pada Sabtu, Trump memberitahu NBC News bahawa beliau "kemungkinan besar" akan memberi tempoh tambahan selama 90 hari untuk TikTok sebelum larangan itu dikuatkuasakan selepas beliau memegang jawatan pada Isnin.
Ketika ketiadaan TikTok buat sementara waktu di Amerika Syarikat, para pencipta dan pengguna terus berkongsi mesej perpisahan, mengenang bagaimana platform itu membina hubungan komuniti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!