[VIDEO] Tiada petunjuk baharu, operasi cari dua nelayan ditamatkan
MELAKA - Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di kawasan Pulau Undan di sini, pada Rabu lalu ditamatkan pada petang Ahad.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, operasi memasuki hari keempat itu ditamatkan memandangkan tiada petunjuk baharu diperoleh meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan insiden melalui rondaan berkala yang dijalankan oleh aset-aset Maritim Malaysia.

"Sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan insiden, tindakan segera akan diambil
"Sehubungan itu kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh pencarian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, seramai 58 pegawai dan anggota bersama enam aset laut dan sebuah aset udara telah digerakkan sepanjang empat hari operasi pencarian.

Menurutnya, kawasan pencarian meliputi lebih 4,357 kilometer persegi,dari sempadan Muar hingga ke Tanjung Tuan, namun tiada petunjuk positif ditemui.
Ujarnya, Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam operasi ini.

"Sebarang maklumat baharu berhubung insiden ini boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut," ujarnya lagi.
Terdahulu, pihaknya turut menerima kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Nelayan Padang Temu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!