Jalan Chow Kit kini 'bersih'

KUALA LUMPUR - Jalan Chow Kit, di ibu negara di sini yang dahulunya sinonim dengan pelbagai aktiviti negatif dan jenayah kini boleh dianggap 'bersih' daripada gejala sosial itu.
Ia berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) proaktif dalam mengadakan pertemuan dengan masyarakat bagi menyalurkan maklumat serta menyelesaikan masalah berkaitan keselamatan.
Terbaharu, Balai Polis Chow Kit diketuai Sarjan Muhammad Yusof bersama lima orang Pegawai Rendah Polis mengadakan program 'Meet and Greet' di Lorong Haji Taib 2 di sini pada Ahad.
Menurut pentadbir laman Facebook Polis Dang Wangi, objektif utama program itu dijalankan adalah bagi mendekati masyarakat secara terus untuk menyampaikan maklumat serta menyelesaikan permasalahan berkaitan keselamatan di kawasan tersebut.
Selain itu, menurutnya, program tersebut juga bagi mendidik masyarakat tentang tanggungjawab mencegah jenayah adalah tanggungjawab bersama dan memberi pendedahan kepada masyarakat bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.
"Program ini juga merupakan satu rangkaian kerjasama antara masyarakat setempat dengan pihak polis melalui usaha dalam pencegahan dan membanteras jenayah kawasan setempat," ujarnya menerusi satu hantaran di laman media sosial itu pada Ahad.
Dalam pada itu, jelasnya, pendekatan itu juga diambil bagi memperkenalkan dan menerangkan penggunaan sistem e-Reporting, kemudahan aplikasi "Volunteer Smartphone Patrol" (VSP) dan Sistem Semakan Online (SSO) sebagai satu inisiatif PDRM dalam mempertingkatkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.
"Program ini telah berjalan lancar dan berakhir dengan jayanya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!