Aplikasi Helo Subang Jaya promosi pelancongan pintar

SUBANG JAYA - Aplikasi Helo Subang Jaya diperkenalkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi nadi memacu pelancongan pintar menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
MBSJ dalam satu kenyataan berkata, kemudahan itu boleh dimuat turun melalui aplikasi induk Gemilang MBSJ di Google PlayStore atau Apple AppStore.
Menurutnya, melalui platform tersebut, pengguna boleh mendapat panduan pelancongan digital termasuk destinasi menarik, acara utama, promosi serta informasi bandar raya Subang Jaya.
"Melalui Modul MyTrip, membolehkan pengguna merancang jadual perjalanan secara efisien penyediaan itinerary perjalanan, tempahan penginapan, makanan dan pengangkutan dalam talian.
"Platform ini turut dilengkapi kemudahan membeli-belah dalam talian membolehkan pengguna berbelanja menggunakan saluran berkenaan," katanya menerusi kenyataan.
Ujar kenyataan itu, inisiatif transformasi digital itu diharap akan terus mendapat sambutan dan penglibatan daripada komuniti setempat.
Ia sekali gus memperkukuh bandar raya Subang Jaya sebagai destinasi pelancongan pintar yang mendukung inovasi dan kelestarian.
Pelancaran aplikasi itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway pada Sabtu.
Pada majlis sama turut dianjurkan Anugerah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ 2024.
Turut bersama hadir Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
Turut hadir ADUN Seri Sedang, Abbas Salimmi Che Adzmi dan ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

