MBI sasar 50 peratus premis makanan di Ipoh miliki sijil Gred A

Rumaizi (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sempena Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di Ipoh pada Sabtu.
Rumaizi (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sempena Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan premis makanan di bandar raya ini memperoleh pensijilan Gred A untuk tahun 2025.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pada tahun lalu sebanyak 30 peratus iaitu 982 daripada 3,200 premis makanan yang dilesenkan oleh MBI mencapai pengiktirafan pensijilan Gred A.

Menurutnya, jumlah berkenaan berdasarkan pemeriksaan, pemantauan rutin dan berkala oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI terhadap semua premis makanan yang dilesenkan di bawah MBI.

"Pihak MBI terus berusaha menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara rutin dan menyasarkan pencapaian sekurang-kurangnya 50 peratus Gred A premis makanan di dalam kawasan pentadbiran MBI pada tahun 2025.

"Pencapaian sasaran ini adalah penting untuk merancakkan ekonomi gastronomi dalam kalangan peniaga premis makanan tempatan sebagai persiapan program MBI untuk Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di sini pada Sabtu.

Rumaizi berkata, pengiktirafan sijil Gred A hanya sah dalam tempoh dua tahun dari tarikh dikeluarkan dan urusan pembaharuan boleh dibuat di Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bangunan MBI.

Katanya, pemeriksaan semula akan dilakukan pegawai yang diberi kuasa mengikut format borang penilaian dan penggredan premis makanan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kriteria pensijilan Gred A mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) selain perlu mengemukakan beberapa dokumentasi yang utama seperti kad suntikan anti-typhoid bagi semua pengendali makanan, kursus pengendali makanan, pemasangan alat perangkap minyak serta kawalan serangga perosak.

"Pelaksanaan dasar kebersihan tandas BMW diambil kira sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan premis makanan yang bermula tahun 2024 oleh MBI melalui saranan daripada KPKT.

"Sepanjang tahun 2024, sebanyak 1,689 tandas premis makanan telah diperiksa dan diberi penarafan bintang termasuk sebanyak 1,670 tandas premis makanan yang telah diberi penarafan empat bintang ke atas," katanya.

Dalam pada itu, Rumaizi bagaimanapun berkata, sebanyak 19 tandas premis makanan telah diberi penarafan tiga bintang dan diberi surat amaran serta kompaun termasuk lesen perniagaan tidak diperbaharui pada tahun 2025 sehingga premis tersebut mengambil tindakan pematuhan tahap kebersihan tandas premis makanan kepada empat bintang dan ke atas.

Jelasnya, penarafan gred kebersihan tersebut penting bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terutamanya pelancong luar untuk menjadikan Ipoh sebagai lokasi pelancongan gastronomi atau kulineri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!