Johor teruskan khidmat ubat melalui pos

Seorang pesakit menggunakan kemudahan Locker4U sempena pelancarannya di sebuah pasar raya terkemuka di Bukit Indah, di Johor Bahru pada Sabtu.
Seorang pesakit menggunakan kemudahan Locker4U sempena pelancarannya di sebuah pasar raya terkemuka di Bukit Indah, di Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan Inisiatif perkhidmatan ubat melalui pos (UMP) secara percuma melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sehingga hujung tahun ini.

Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, sejak inisiatif berkenaan dilancarkan tahun lalu, lebih 12,000 bungkusan ubat telah dihantar kepada pesakit pada Disember.

"Inisiatif ini kita sudah mula lebih awal pada 2022 namun pada ketika itu pesakit perlu membayar kos penghantaran. Bagi menggalakkan perkhidmatan itu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM900,000 bagi membolehkan inisiatif UMP ini berjalan secara percuma.

“Malah, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu mendapat kerjasama Pos Malaysia untuk menghantar bungkusan ubat terus kepada pesakit yang layak di rumah mereka tanpa perlu hadir ke kaunter farmasi.

“Oleh itu, mulai 1 Ogos 2024 lalu, jumlah penghantaran ubat ini meningkat daripada 9,000 bungkusan sebulan kepada 12,220 bungkusan sebulan pada Disember lalu,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Tian Soon berkata demikian, sempena program Walkabout Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi menyempurnakan Pelancaran Projek Locker4U 2025 & Inisiatif Perkhidmatan UMP di sebuah pasar raya terkemuka di sini.

Untuk rekod, setakat ini perkhidmatan Locker4u ditempatkan di AEON Taman Universiti, Paragon Marketplace, Econsave Taman Teratai, Pelangi Leisure Mall, Lotus Bukit Indah dan Lotus Kulai.

Sementara itu Tian Soon berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan inisiatif ini sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2025 lalu.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, kerajaan negeri turut berhasrat untuk meneruskan perkhidmatan UMP sehingga hujung tahun ini setelah mendapati berlaku trend peningkatan penggunaannya.

“Selain perkhidmatan UMP, kita turut menyediakan perkhidmatan lokar ubat, Locker4u yang ditempatkan di pusat beli belah dan pasar raya terpilih.

“Perkhidmatan UMP dan Locker4u ini memudahkan urusan pengambilan bekalan ubat susulan pesakit tanpa perlu ke farmasi sekali gus mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!