Calon tunggal jawatan Presiden bukti keyakinan FAM - Joehari

Joehari (gambar kecil) percaya perkhabaran positif menjadi calon tunggal menggantikan tempat Hamidin sebagai Presiden pada kongres pemilihan penggal 2025-2029 sebagai tanda keyakinan FAM kepada dirinya.
Joehari (gambar kecil) percaya perkhabaran positif menjadi calon tunggal menggantikan tempat Hamidin sebagai Presiden pada kongres pemilihan penggal 2025-2029 sebagai tanda keyakinan FAM kepada dirinya.
A
A
A

DATUK Joehari Mohd Ayob percaya perkhabaran positif menjadi calon tunggal menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden pada kongres pemilihan penggal 2025-2029 sebagai tanda keyakinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada dirinya.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan sepenuh kepercayaan diberikan Ahli Gabungan FAM untuk beliau menjadi individu seterusnya menerajui badan induk sukan bola sepak itu yang sebelum ini merupakan Naib Presiden.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAM yang telah mencalonkan nama saya untuk jawatan Presiden FAM.

"Apa pun, kita tunggu hari Kongres FAM 2025 pada 15 Februari depan untuk formaliti saya memulakan tugas sebagai Presiden FAM bersama-sama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif lain yang akan dipilih pada hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said mengumumkan bahawa Joehari merupakan satu-satunya calon bagi kerusi nombor satu itu sehingga pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif ditutup jam 5.30 petang Khamis lepas.

Senarai itu turut menyaksikan dua penyandang Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram bakal mengekalkan jawatan mereka.

Hamidin yang merupakan penyandang Presiden FAM sejak 2018, sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan jawatan berkenaan bagi memberi laluan kepada individu baharu untuk melonjakkan persatuan itu ke tahap seterusnya.

Tujuh belas jawatan bakal dipertandingkan pada kongres FAM pada 15 Februari depan iaitu satu Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 10 Exco, termasuk dua kerusi diperuntukkan untuk wanita. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!