FAM perlu perubahan menyeluruh, perlu ada muka baharu

Bahang pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 semakin dirasai.
Bahang pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 semakin dirasai.
A
A
A

BAHANG pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 semakin dirasai apabila hari ini menjadi tarikh akhir untuk ahli gabungan badan induk itu menghantar borang pencalonan.

Ia sekali gus menghangatkan lagi suhu kongres kali ini dengan harapan menggunung agar ada calon baharu yang bakal tampil untuk mencabar jawatan penting seperti Presiden FAM.

Bagaimanapun, kongres kali ini juga tidak terlepas daripada terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk penipuan pada borang pencalonan yang diserahkan oleh wakil persatuan bola sepak kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM selain isu penggantungan ahli gabungan.

Bagi Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, beliau mengharapkan agar sebarang proses menuju ke hari pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari berjalan lancar serta berlakunya persaingan sihat.

“Memang kalau kita tengok menjelang tarikh tutup menghantar borang calon, memang banyak kontroversi yang berlaku dan sedikit sebanyak menjejaskan pemilihan ini.

“Namun, saya mengharapkan agar apa jua yang berlaku, segala proses kongres ini berjalan lancar dan usaha untuk memilih calon yang betul-betul tepat akan berjaya dicapai.

“Ia sangat mustahak kerana calon yang bakal dipilih kali ini akan menjadi satu kumpulan pengurusan penting dalam memacu persatuan ke tahap lebih baik terutama dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

FAM menetapkan 16 Januari sebagai tarikh akhir untuk ahli gabungan menghantar borang pencalonan dan senarai akhir calon akan diumumkan hujung bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Senarai calon yang dikemukakan juga perlu melalui tapisan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Redzuan percaya masanya sudah tiba untuk 'pembaharuan total' berlaku dalam FAM dengan badan induk itu diterajui oleh muka baharu.

“Saya berharap ada pertandingan dalam semua jawatan penting. Ia juga langkah perlu selepas sekian lama kita tidak berjaya dalam arena bola sepak.

“Sudah tiba masanya kita mesti mengharapkan muka baharu dengan idea yang lebih praktikal untuk bawa perubahan yang drastik dan mencapai kejayaan kepada bola sepak negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!