Farmasi didenda RM10,000 naik harga topeng muka

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Menjual topeng muka jenis N95 pada harga RM1 lebih tinggi daripada harga kawalan membawa padah apabila sebuah farmasi di sini dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek berkata, farmasi tersebut telah menjual penutup berkenaan pada harga RM7 sedangkan harga kawalan yang ditetapkan adalah RM6.

"Kes telah diambil tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan barangan harga terkawal selain harga mengikut harga maksimum runcit yang ditentukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat berikutan aduan orang ramai yang mengatakan farmasi berkenaan menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga kawalan.

Beliau menegaskan kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga penutup mulut dan hidung susulan koronavirus (Covid-19). - Bernama

Artikel Berkaitan: