Nelayan ditahan cuba curi kerang

Seorang lelaki tempatan disyaki menjalankan kegiatan mencuri kerang ditahan selepas mengemukakan lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.
Seorang lelaki tempatan disyaki menjalankan kegiatan mencuri kerang ditahan selepas mengemukakan lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak mematahkan cubaan mencuri kerang di perairan Kuala Kurau di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha Sharip berkata, operasi dilakukan di 2.0 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar itu berjaya mengesan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan kemudiannya mendapati, terdapat seorang lelaki warga tempatan sedang melakukan kerja-kerja menangguk kerang.

"Siasatan awal mendapati, kegiatan berkenaan dilakukan tanpa lesen mengambil kerang dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

"Lelaki terbabit juga mengemukakan lesen yang telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya merampas 10 kilogram hasil kerang yang berjaya dicuri lelaki berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur kerang) 2002 atas kesalahan lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu ditetapkan.

"Operasi dilakukan susulan aduan awam yang kita terima berkaitan kes kecurian kerang di kawasan ini.

"Komuniti Maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai aduan dan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!