Akauntan rugi lebih RM400,000 diperdaya pelaburan bitcoin

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas berputih mata apabila kerugian RM460,888 selepas terpedaya pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang akauntan mendakwa dirinya ditipu satu pelaburan bitcoin yang disertainya pada Julai lepas.
Wanita berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di laman Facebook dan menekan pautan yang disertakan sebelum dimasukkan ke dalam grup pelaburan bitcoin serta diberikan penerangan oleh beberapa individu mengenai pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan.
"Pada penghujung Disember, mangsa mengambil keputusan menyertai pelaburan itu memandangkan hampir bersara. Mangsa telah diarahkan memuat turun sebuah aplikasi bagi memantau bitcoin yang dilabur dan keuntungan yang diperoleh.
"Mangsa membuat tiga kali transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza berjumlah RM460,888 pada 30 Disember hingga 16 Januari.
"Mangsa dapat melihat transaksi pelaburan itu dalam aplikasi itu dan keuntungan berjumlah RM5.5 juta," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa berhasrat mengeluarkan keuntungan itu namun dia diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM550,152.35 untuk bayaran pengurusan.
Mohd Sohaimi berkata, mangsa tidak membuat bayaran itu kerana percaya dirinya telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.
"Siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun' di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap taktik penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa dan jangan mudah percaya dengan iklan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat, lumayan dan kaedah pelaburan mudah," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!