Tidak hadir kerja dua hari punca pekerja ditumbuk, ditendang majikan

Tular video di media sosial sebelum ini memaparkan seorang lelaki memukul pekerjanya di sebuah jeti di Pulau Ketam.
Tular video di media sosial sebelum ini memaparkan seorang lelaki memukul pekerjanya di sebuah jeti di Pulau Ketam.
A
A
A

KLANG - Tidak hadir bekerja selama dua hari menjadi punca seorang lelaki warga asing dipukul majikannya dalam kejadian di sebuah jeti di Pulau Ketam yang tular menerusi media sosial.

Bagaimanapun tindakan lelaki tempatan itu membawa padah apabila berjaya diberkas sekitar kawasan sama pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, semakan dijalankan pihaknya mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan susulan video kejadian yang dikesan pihaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Jumaat.

"Siasatan mendapati mangsa merupakan pekerja kepada suspek, apabila mangsa tiba di pelantar jeti berkenaan, suspek bertindak menumbuk, menendang serta mengugut mangsa.

"Punca kejadian didapati disebabkan mangsa tidak hadir kerja selama dua hari mengakibatkan suspek berang terhadap mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pihaknya dalam usaha mengesan mangsa bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung kejadian.

"Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kemudiannya membuat tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat memukul mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berumur lingkungan 41 tahun itu diberkas di kawasan Pulau Ketam dan semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03- 33762222 bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak menularkan video kejadian kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang lelaki dipukul individu dipercayai majikannya di sebuah jeti dipercayai di Pulau Ketam, Klang.

Video berdurasi 54 saat itu mulanya memaparkan mangsa tiba di jeti berkenaan sebelum memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dirinya sedang sakit.

Individu terbabit yang dilihat duduk di atas tong ais kemudiannya bangun sebelum menumbuk mangsa berulang kali sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh.

Mangsa bagaimanapun tidak melawan dan hanya membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sedemikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!