Thailand alami cuaca sejuk luar biasa

Seorang sami Buddha memakai topi musim sejuk di Bangkok. Foto Agensi
Seorang sami Buddha memakai topi musim sejuk di Bangkok. Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK – Thailand yang dikenali dengan cuaca tropika kini menikmati cuaca sejuk luar biasa yang dijangka berlanjutan sehingga pertengahan Februari.

Menurut ramalan cuaca pada Khamis, kawasan di seluruh Thailand, terutamanya di bahagian utara, mengalami suhu sejuk.

Jabatan Meteorologi memaklumkan, suhu di kawasan utara dan timur laut turun serendah 8 hingga 9 darjah Celsius, manakala kawasan pergunungan mencatatkan suhu serendah 2 darjah Celsius.

Sementara itu, suhu di Bangkok pada Khamis menunjukkan sedikit peningkatan, tetapi suhu rendah tetap dicatatkan antara 19 hingga 21 darjah Celsius.

Menurut Jabatan Meteorologi, pada Isnin lalu, suhu di Bangkok mencecah 15 darjah Celsius, yang merupakan suhu paling rendah tahun ini yang dicatatkan bagi ibu negara, Thailand itu.

Jabatan Meteorologi berkata, keadaan sejuk itu akan berterusan sehingga pertengahan Februari, terutamanya di kawasan utara dan timur laut. Suhu musim panas juga dijangka lebih sederhana daripada biasa.

Fenomena itu disebabkan kesan La Nina, iaitu penyejukan semula jadi sesekali di kawasan khatulistiwa Pasifik yang turut mempengaruhi cuaca di seluruh dunia. – Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!