U Mobile lancar rangkaian 5G kedua negara tanpa rakan kongsi baharu

KLANG - Projek rangkaian 5G kedua negara yang bakal dibangunkan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dijangka akan dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun depan.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, U Mobile akan melancarkan rangkaian 5G kedua tanpa pembiayaan kerajaan dan rakan kongsi baharu berikutan pengalamannya dalam industri telekomunikasi.
Beliau turut menepis dakwaan beberapa penganalisis bahawa syarikat telekomunikasi itu akan bergelut untuk melancarkan rangkaian 5G kedua secara bebas.
"Apa kata kita tunggu 15 hingga 18 bulan nanti baru kita lihat erti perjuangan? Kami ditawarkan lebih banyak pinjaman daripada yang kami perlukan. Kami berpengalaman.

"Saya memulakan Digi (banyak) tahun lalu, kemudian U Mobile dan REDtone Digital Bhd,” katanya kepada ketika ditemui selepas lawatan di Pulau Ketam, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini dilaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor.
Menurut suruhanjaya itu, faktor-faktor tersebut ialah rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi syarikat dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
Susulan itu, media melaporkan, U Mobile mungkin akan bergelut untuk melancarkan rangkaian 5G kedua Malaysia yang mendorong syarikat itu untuk mempertimbangkan penggabungan.
Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai potensi kerjasama, Vincent menolak rakan kongsi tempatan, sebaliknya sedang mencari perkongsian dengan pembekal telekomunikasi China, Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp.
"Kami tidak memerlukan rakan kongsi tempatan baharu. Kami sedang melihat pembekal China sama ada Huawei atau ZTE. Mereka adalah yang terbaik dari segi teknologi 5G.
"Mereka akan membekalkan peralatan 5G dan menyediakan pembiayaan. Kita perlu mengeluarkan belanjawan sendiri bersama-sama dengan pembiayaan daripada bank tetapi, semuanya masih belum muktamad," ujarnya.
Tambah Vincent, beliau turut merancang untuk mengapungkan saham U Mobile di Bursa Malaysia menjelang akhir 2025 dan sedang mengusahakan tawaran awam permulaan (IPO).
“Kami masih mengusahakan dana untuk mengumpul... ia terlalu awal. Kami berharap untuk mengemukakan cadangan itu dalam beberapa bulan akan datang dan disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!