Tiada kenaikan fi hotel sebanyak 50 peratus - Kon Yeow

Kon Yeow merasmikan Pos Shop Datuk Keramat yang dilancarkan pada Jumaat.
Kon Yeow merasmikan Pos Shop Datuk Keramat yang dilancarkan pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan akan menaikkan fi hotel sehingga 50 peratus seperti yang dilaporkan sebuah portal.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

"Kerajaan negeri bukan sahaja tidak pernah bercadang untuk menaikkan fi hotel malah perkara itu tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

"Oleh itu, dakwaan mengatakan fi hotel akan dinaikkan sehingga 50 peratus adalah tidak benar," katanya kepada media selepas merasmikan Pos Shop ke-50 di Pejabat Pos Datuk Keramat di sini pada Jumaat.

Kon Yeow menambah, Pulau Pinang mengutip hanya RM72 juta untuk fi hotel sejak 2014 sehingga April 2024.

Jelas beliau, jumlah itu tidak mencukupi untuk membiayai promosi dan kerja membaik pulih infrastruktur berkaitan pelancongan di negeri ini.

"Sebagai contoh, projek membaik pulih Fort Cornwallis, ia memerlukan peruntukan antara RM15 juta hingga RM20 juta. Selain itu, Projek Gurney Bay, ia menelan kos RM220 juta.

"Semua kos ini dibiayai oleh kerajaan negeri, bukannya menggunakan fi hotel kerana fi yang dikutip tidak mempunyai jumlah yang besar," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk menaikkan 50 peratus fi hotel, iaitu cukai yang dikenakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang ke atas penginap hotel.

Pada masa ini, pelawat yang menginap di hotel bertaraf empat bintang dan ke atas dikenakan cukai sebanyak RM3 semalam, manakala mereka yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah dikenakan cukai RM2.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Mei 2024, dinyatakan bahawa sejumlah RM72 juta telah dikutip sehingga April 2024 daripada caj fi hotel sejak ia diperkenalkan pada 2014.

Kutipan caj tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan negeri sebagai hasil negeri bermula akhir tahun 2023.

Kon Yeow menikmati aiskrim di Pos Shop Datuk Keramat sambil diperhatikan oleh Charles Brewer.
Kon Yeow menikmati aiskrim di Pos Shop Datuk Keramat sambil diperhatikan oleh Charles Brewer.

Sementara itu, mengulas mengenai Pos Shop ke-50, Kon Yeow berkata, usaha Pos Malaysia itu wajar dipuji berikutan ia dapat menyatukan keperluan tradisional dan digital.

"Pembukaan Pos Shop Dato Keramat memperlihatkan dedikasi Pos Malaysia dalam usaha transformasinya menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggan yang berubah dalam dunia yang semakin digital.

"Dengan mengintegrasikan tawaran runcit moden dengan kebolehpercayaan perkhidmatan pos tradisional, Pos Malaysia merapatkan jurang antara komuniti fizikal dan digital untuk memberikan kemudahan dan akses yang lebih baik kepada pelanggan daripada semua lapisan masyarakat.

"Pos Malaysia wajar dipuji atas konsep yang menyegarkan dan inovatif ini, dan saya percaya Pos Shop pastinya akan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang dan komuniti perniagaan tempatan untuk tahun yang akan datang," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Pos Shop terbaharu itu melambangkan pencapaian penting untuk perjalanan transformasi yang mengagumkan bagi Pos Malaysia dalam usaha berterusan.

Menurutnya, ia juga menandakan kejayaan pencapaian matlamat syarikat yang mengagumkan untuk membuka 50 lokasi Pos Shop di seluruh negara.

"Secara keseluruhan, cawangan ini telah berkhidmat kepada lebih 630,000 pelanggan dan menjual 80,000 botol air, 140,000 roti, 52,000 hidangan aiskrim lembut, 153,000 biji pau, 43,000 bungkus nasi lemak dan pelbagai barangan kedai serbaneka lain yang istimewa dan dipilih dengan teliti.

"Sesetengah barangan ini, seperti pau dan nasi lemak telah dihasilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana tempatan, mencerminkan komitmen Pos Malaysia dalam menyokong perniagaan tempatan," katanya.

Tambahnya, Pos Shop Dato Keramat adalah cawangan kelima di Pulau Pinang dan pihaknya sedang merancang untuk membuka outlet seterusnya di Pejabat Pos Komtar.

Sebelum ini, Pos Shop mempunyai cawangannya di Perai, Kepala Batas, Batu Maung dan Gelugor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!