Cubaan seludup gula, arak gagal

KLANG - Cubaan tekong warga Indonesia menyeludup keluar minyak masak dan gula tempatan selain minuman keras menggunakan bot terbongkar dalam serbuan di perairan di sini, pada Rabu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kegiatan itu dikesan pihaknya menerusi Op Taring Gelora kira-kira jam 6.30 petang.
Katanya, anggota operasi telah menahan enam lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai tekong dan awak-awak.
"Pemeriksaan di bot terbabit menemui barang kawalan bersubsidi iaitu 167 peket gula kasar dan 39 peket minyak masak.
"Kita turut menemui tujuh botol minuman keras pelbagai jenama," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, tekong gagal mempamerkan sebarang dokumen sah dan dipercayai melakukan kesalahan membawa keluar barang kawalan dan minuman keras tanpa dokumen sah.
Katanya lagi, tindakan rampasan telah diambil termasuk ke atas bot terbabit yang membawa nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM335,096.97.
"Kesemua rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
"Kes telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!