Dua projek pembangunan berimpak tinggi dibangunkan di Pahang - Wan Rosdy

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan membangunkan dua projek berimpak tinggi yang dijangka meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.
Projek tersebut melibatkan pembinaan Pangsapuri Pahangku di Bentong dan pembangunan Artificial Intelligence Data Center (AIDC).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi projek perumahan Pangsapuri Pahangku ia akan dibina di kawasan berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.
Menurutnya, projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Pahang dalam menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat Pahang khususnya kepada golongan muda, selain memanfaatkan sistem pengangkutan ECRL.
"Kerajaan telah merangka pembangunan berorientasikan transit (TOD) di setiap stesen ECRL seperti pusat komersial, perumahan, pusat pendidikan serta projek komuniti.
"Projek ini dijangka memberikan impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi di Bentong dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan dapat meningkatkan keselesaan hidup rakyat, memperkukuh jaringan infrastruktur perumahan serta pengangkutan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan membangunkan AIDC sebagai platform baharu perniagaan secara atas talian berasaskan produk pertanian.
Katanya, projek ini memanfaatkan teknologi pengkomputeran awam dan teknologi kepintaran buatan (AI) melalui pembangunan pusat data pengkomputeran pintar berskala besar serantau dan menggalakkan pembangunan industri digital negara.
"AIDC adalah projek yang pertama di negeri Pantai Timur ini dijangka akan mula dilaksanakan pada Januari 2026 dengan menyasarkan produk-produk tempatan bagi pemasaran tempatan dan juga global.
"Ini sekali gus dapat membantu pengusaha memasarkan produk pertanian mereka serta merancakkan lagi ekonomi negeri Pahang," katanya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap agar kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan dengan baik agar manfaatnya diterima oleh rakyat di negeri Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!