DAP akan lapor polis isu kenyataan DAPSY dipalsukan

Kenyataan palsu dikaitkan dengan Kah Leong yang disebarkan di media sosial. Gambar kiri: Sheikh Umar
Kenyataan palsu dikaitkan dengan Kah Leong yang disebarkan di media sosial. Gambar kiri: Sheikh Umar
A
A
A

JOHOR BAHRU - DAP Johor mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kenyataan palsu mengaitkan kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong dalam isu logo halal.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kenyataan berkaitan isu logo halal pada produk ham yang dijual di sebuah kedai serbaneka itu jauh berbeza daripada kenyataan asal Kah Leong.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata, kenyataan palsu tersebut tersebar dalam media sosial sejak dua hari lalu.

"Beberapa akaun di Facebook telah menyebarkan satu kenyataan palsu yang direka-reka dan mengaitkannya sebagai kenyataan Kah Leong.

"Saya telah menghubungi Kah Leong dan kenyataan asal beliau. Ternyata ia jauh berbeza dari kenyataan palsu yang disebarkan. Ini suatu bentuk fitnah yang disebarkan dengan tujuan yang tidak baik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, tindakan pihak terbabit menyebarkan fitnah akan menggugat keharmonian dalam kalangan rakyat.

"Sesungguhnya fitnah itu dimulakan oleh si pembenci, disebarkan oleh si daif dan diterima oleh mereka yang jahil. Ia mesti dihentikan segera.

"Fitnah seperti ini boleh menggugat keharmonian dalam kalangan rakyat. Justeru, laporan polis oleh DAP akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!