Jadilah orang yang berusaha, bukan 'terlalu manja'

INISIATIF Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM2,100 tahun ini, berbanding RM1,200 pada tahun lalu menjadi sebahagian daripada pendekatan bantuan bersasar kerajaan.
Ia menyaksikan penambahbaikan bantuan merangkumi sebahagian peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, dalam angka tertinggi iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
Malah, bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui MyKad juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, berbanding hanya negeri di Semenanjung pada 2024.
Sudah pasti ia juga dapat memberi kelegaan kepada 700,000 penerima dalam kategori miskin dan miskin tegar terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Selain dapat meringankan beban perbelanjaan dapur, ia juga dapat membantu menampung bajet bulanan.
Diharap ia dapat membantu penerima mengurangkan kesan inflasi dan meringankan beban mereka menyara keluarga masing-masing terutama bagi individu yang mempunyai ramai anak.
Pada masa sama, peningkatan bantuan tersebut berdaya untuk meningkatkan kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah dan mengurangkan masalah sosial kesan daripada faktor kemiskinan tetapi ia perlulah seiring seiring dengan kawalan harga barangan di pasaran agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Namun, bantuan berbentuk tunai bukanlah penyelesaian mampan untuk jangka masa panjang bagi mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan, sebaliknya perancangan bagi meningkatkan kebolehupayaan golongan tersebut meningkatkan taraf hidup tanpa bergantung kepada bantuan tunai semata-mata sangat diperlukan.
Bantuan seumpama itu tidak kekal dalam jangka panjang khususnya bagi kedudukan fiskal kerajaan. Kita perlu melihat kesan bantuan ini umpamanya, 10 tahun akan datang. Jika tiada perubahan, lihat pula bantuan apa lagi yang perlu disalurkan supaya kita bukan sekadar bantu mereka untuk hidup tetapi ada asas untuk lebih maju pada masa depan.
Justeru, golongan berpendapatan rendah perlu dibantu untuk menjana pendapatan, contohnya dari segi menyediakan latihan kemahiran dan modal, bantuan pemasaran produk, dan sebagainya.
Belajarlah berdikari tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Jadilah rakyat yang berusaha supaya tidak menjadi ‘terlalu manja’ dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!