Sindiket jual nombor pendaftaran kenderaan palsu di Facebook tumpas

Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat
Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan penjualan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian dengan menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di tiga negeri sejak Jumaat lalu.

Serbuan itu dilakukan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 22 tahun yang mendakwa dirinya ditipu sindiket berkenaan, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mangsa telah tertarik dengan satu nombor pendaftaran yang diiklan dengan harga RM2,000 di Facebook.

"Suspek kemudian mengarahkan deposit berjumlah RM1,000 dibayar ke akaun diberikan dan selepas pembayaran dibuat, mangsa gagal menerima sebarang jawapan malah panggilannya juga telah disekat.

"Mangsa menyedari ditipu apabila semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh mendapati nombor tersebut didaftarkan atas nama individu lain dan semakan mendapati syarikat digunakan suspek tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Zulkafli, berdasarkan maklumat itu, sebanyak tiga serbuan dilakukan di Gemencheh, Negeri Sembilan; Setapak, Kuala Lumpur dan Pulau Langkawi, Kedah bermula Jumaat hingga Selasa lalu.

Tambah beliau, kesemua suspek merupakan warga tempatan yang berusia 27 hingga 52 tahun.

"Turut dirampas lima telefon, tujuh kad bank, dua komputer dan dua mesin pencetak yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan itu.

"Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai ketua sindiket, pencari pelanggan, pencari pemilik akaun yang berminat menyewakan akaun mereka dan pembuat nombor plat kenderaan yang ditempah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkafli berkata, siasatan mendapati sindiket itu telah memperdaya beberapa mangsa lain di Selangor, Kedah dan Johor.

"Berdasarkan nama syarikat dan nombor akaun yang digunakan, didapati sindiket ini terlibat dalam lapan laporan polis dengan nilai kerugian berjumlah RM71,400.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!