Selangor bakal terbitkan buku Lembaga Pengampunan Negeri

BERIKUTAN terlalu banyak kekeliruan mengenai pengampunan, Kerajaan Negeri Selangor bakal menerbitkan buku untuk menjelaskan fungsi Lembaga Pengampunan Negeri.
Ia kerana belum pernah peranan dan fungsi Lembaga Pengampunan menjadi tumpuan serta mendapat liputan meluas.
Kontroversi berterusan mengenai Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengemukakan adendum kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam usaha membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Begitu juga terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hukuman tahanan rumah yang kini sedang diperdebatkan.
Bergantung kepada siapa anda mendengar, namun terdapat banyak tafsiran bercanggah seperti mana yang dijangkakan peguam.
Sehingga kini, isu yang timbul adalah sama ada Adendum itu wujud atau sebaliknya kerana dikatakan tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Memandangkan isu ini semakin meluas, Kerajaan Selangor mengambil langkah menerbitkan buku untuk memastikan fungsi Lembaga Pengampunan negeri dapat difahami dengan lebih jelas.
Buat masa sekarang, naskahnya sedang dalam proses pencetakan dan bakal dibukukan dalam masa terdekat.
Lembaga Pengampunan Selangor diketuai oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama anggotanya, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; peguam negara dan tiga ahli lain.
Penasihat undang-undang negeri kadang-kala dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut bagi memberikan pandangan.
Lembaga Pengampunan Negeri bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun, tetapi baginda telah mengubahnya kepada empat kali.
Ini menunjukkan bahawa Sultan boleh memanggil dan mengadakan mesyuarat pada bila-bila masa.
"Baginda ambil maklum bahawa rayuan tidak boleh dibiarkan sahaja kerana ia melibatkan kehidupan seseorang meskipun mereka banduan," kata seorang pegawai.
Buku tersebut akan diedarkan secara meluas bagi membolehkan rakyat dan pegawai negeri memahami prosedur dengan jelas tanpa dibayangi sebarang bentuk kecenderungan politik.
Di Selangor, tertuduh yang dijatuhkan hukuman oleh mana-mana mahkamah di negeri ini berhak untuk memfailkan petisyen pengampunan daripada Sultan.
Tempoh masa untuk banduan mengemukakan petisyen pengampunan kebiasaannya dibuat berdasarkan kategori kes, kata seorang pegawai.
Jadi, berapa kerap seseorang boleh memfailkan rayuannya untuk mendapat pengampunan?
Peraturan 54 dalam Peraturan-Peraturan Penjara 2000 menyatakan bahawa kes di bawah Jabatan Penjara Malaysia bagi banduan yang dijatuhkan hukuman lebih dari tujuh tahun tempoh pemenjaraan, pihaknya akan mengemukakan kes banduan setiap empat tahun tempoh pemenjaraan banduan tersebut iaitu pada tahun ke-4, ke-8, ke-12, ke-16 tempoh pemenjaraan dan setiap tahun selepas 16 tahun tempoh pemenjaraan.
Bagaimanapun, Peraturan 113 membenarkan seseorang itu memfailkan petisyen secepat mungkin selepas hukuman dan proses rayuan di mahkamah berakhir manakala rayuan kedua boleh dibuat setelah menjalani hukuman tiga tahun.
Selepas itu, permohonan pengampunan boleh difailkan setiap dua tahun.
Dalam kes seorang banduan yang dijatuhi hukuman mati seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan 114, mereka boleh mengemukakan petisyen pengampunan kepada Sultan sebaik Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan hukuman mati. Tiada tempoh masa tertentu ditetapkan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Raja mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Perlembagaan Persekutuan juga memberikan Sultan Sharafuddin sebagai pemerintah Selangor kuasa untuk mengampunkan, menangguh atau lega hukum di atas kesalahan yang dilakukan dalam negeri.
Selaras dengan kuasa Sultan Selangor di bawah Perlembagaan Negeri Selangor, ditetapkan bahawa Sultan juga boleh memberikan pengampunan, penangguhan atau lega hukum untuk kesalahan yang dilakukan di Selangor (tidak termasuk kesalahan yang diadili Mahkamah Tentera).
Kuasa Sultan Selangor terhad kepada petisyen pengampunan daripada banduan di Selangor.
Pegawai undang-undang negeri berkata, buat masa ini tiada peruntukan di bawah Perlembagaan Selangor berkaitan dengan tahanan rumah atau permohonan daripada Sultan untuk menetapkan rumah atau bangunan sebagai penjara.
Seorang pakar undang-undang berkata, tahanan rumah tidak bermakna menjalani hukuman di kediaman sendiri dengan ahli keluarga.
"Dari sudut undang-undang, premis itu perlu diwartakan sebagai penjara terlebih dahulu untuk tahanan rumah.
"Akan ada warden penjara yang hadir dan mungkin seorang tukang masak penjara juga dilantik untuk memastikan keselamatan", ujarnya.
Bolehkah Sultan Sharafuddin mengeluarkan adendum?
Tidak ada tafsiran perkataan adendum yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Selangor atau di bawah Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Perkataan adendum hanya bermaksud sesuatu yang perlu ditambah terutamanya kepada dokumen tambahan.
Tetapi, apa-apa rayuan mesti melalui Lembaga Pengampuan. Muktamad.
Perlembagaan Selangor jelas menyatakan bahawa Sultan dalam menjalankan kuasa pengampunan mesti bertindak di atas nasihat Lembaga Pengampunan negeri.
Namun, Sultan mempunyai hak istimewa untuk menerima nasihat atau sebaliknya atau dalam bahasa mudah, hanya Sultan yang memutuskan perkara tersebut.
Semua permohonan petisyen pengampunan daripada banduan mesti dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan negeri untuk dipertimbangkan.
Sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan semasa mesyuarat akan didokumenkan dalam minit oleh Sekretariat Lembaga Pengampunan negeri.
Jika Sultan mempunyai apa-apa untuk ditambah selepas mesyuarat, Baginda perlu menunggu mesyuarat seterusnya.
Prosedurnya mudah dan jelas. Sultan Selangor sentiasa menekankan bahawa banduan itu sendiri mesti memohon pengampunan untuk menunjukkan bahawa dia serius mahu Baginda mengampuninya, bukan sekadar melalui peguam atau ahli keluarga.
Secara logiknya, banduan mesti menyesali segala perbuatan dan membuat pengakuan bersalah sebelum meminta pengampunan.
Justeru, keputusan menerbitkan buku Lembaga Pengampunan negeri adalah kaedah terbaik buat pengetahuan orang awam dan nampaknya Selangor yang pertama mengambil pendekatan ini.
*Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!