Penulis UK didenda RM700 ceroboh kawasan larangan KLIA

SEPANG - Seorang penulis dari United Kingdom (UK) yang memasuki kawasan larangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu, didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Polak Kendon, 57, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris, di hadapan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara selama sebulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasuki tempat larangan tanpa menggunakan pas sah, di Aras 5 Pelepasan Antarabangsa, KLIA 1 di sini, pada jam 8.46 malam sehingga 8.47 malam, 10 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 yang boleh dihukum bawah Seksyen 7 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili tertuduh, merayu mahkamah mengenakan denda minimum kerana berlaku salah faham antara pihak berkuasa dengan tertuduh.
"Sebelum kejadian tertuduh dalam perjalanan dari Perth, Australia ke KLIA untuk pergi ke Addis Ababa di Ethiopia.
"Dia tidak mempunyai rekod jenayah, sering mengunjungi ke Malaysia dan menyayangi negara ini," kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nur 'Ain Madihah Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman pengajaran kepada tertuduh.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh dari kawasan Airside Terminal menyatakan ingin ke kaunter Ethiopian Airlines dan mahu kembali ke arah E-Gate tanpa mengimbas pas masuk.
Tertuduh kemudian memanjat E-Gate itu namun kakinya tersepit menyebabkan polis bantuan memaklumkan perkara itu kepada Pusat Operasi Keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!