Lelaki maut, kereta terbakar terbabit kemalangan

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar selepas terbabit kemalangan di jalan Bandar Utama Gua Musang petang Isnin. Foto pembaca
Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar selepas terbabit kemalangan di jalan Bandar Utama Gua Musang petang Isnin. Foto pembaca
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandu terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan di jalan Bandar Utama Gua Musang petang Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, Mohd Basyir Che Ali, 36, yang menaiki kereta Proton Saga itu bersama isterinya Murni Md Nor, 37, dipercayai berlanggar dengan sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas dan terbakar.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 5.18 petang dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kami dapati kereta tersebut telah terbakar dan ada seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang penumpang wanita iaitu isteri lelaki itu sempat menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan lelaki itu kira-kira jam 5.47 petang, manakala pemandu dan dua penumpang kereta Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan, dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!