Anggota tentera maut, kereta dipandu terbabas
GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan di Taman Rimba Templer, Rawang, di sini, selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan akibat dihempap tiang pencawang,
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada jam 6.51 pagi.
"Kemalangan berlaku di Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, menghala ke Rawang berhadapan Taman Rimba Templer, Rawang, pada jam 6.30 pagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Noor Ariffin berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, kemalangan membabitkan pemandu kereta Perodua Bezza terbabas dan melanggar tiang pencawang yang berada di sebelah kiri jalan.
"Akibat daripada perlanggaran itu kereta yang dipandu mangsa berusia 27 tahun itu terbalik ke dalam longkang dan dihempap tiang pencawang menyebabkannya cedera parah di kepala dan badan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Selayang sebelum mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Noor Farah Hanim di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 5.26 pagi
"Seramai tujuh anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang terbabas dengan sendiri.
"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!