Premis sorok ubat, makanan disyaki tiada kelulusan KKM diserbu

KLANG - Sebuah premis yang dijadikan sebagai stor simpanan produk makanan, minuman, penjagaan diri dan ubat-ubatan dipercayai tidak sah di Jalan Pos Baru di sini diserbu polis pada Ahad.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan dilakukan Unit Gempur Marin (Ungerin) bersama Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang menerusi Op Taring Landai.
Katanya, pemeriksaan di stor terbabit menemui pelbagai jenis produk disyaki tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Farmasi Malaysia.

"Seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun dipercayai penjaga premis kemudian ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen dan kelulusan KKM.
"Barang yang dirampas meliputi 37 jenis barangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta 116 jenis barangan mengikut Akta Makanan 1983," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua barang dirampas itu dianggarkan bernilai RM404,930.30.
Tegasnya, kes telah diserahkan kepada KKM dan Farmasi Malaysia untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!