RM723.1 juta Bantuan Awal Persekolahan bulan Januari selesai disalurkan

Kah Woh (empat dari kiri) menyerahkan BAP berjumlah RM150 kepada wakil murid sebagai simbolik Majlis Penyerahan Cek Cura BAP peringkat negeri Perak di Tahun 2025 SJKC Wan Hwa 1 di Menglembu, Ipoh pada Isnin.
Kah Woh (empat dari kiri) menyerahkan BAP berjumlah RM150 kepada wakil murid sebagai simbolik Majlis Penyerahan Cek Cura BAP peringkat negeri Perak di Tahun 2025 SJKC Wan Hwa 1 di Menglembu, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi fasa pertama berjumlah RM723.1 juta kepada semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah selesai disalurkan, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, agihan BAP sebanyak RM150 itu telah diberikan kepada lebih 4.8 juta murid bagi Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.

"Peruntukan BAP yang diluluskan bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM791,250,000 dan setakat ini bagi fasa pertama iaitu pada bulan Januari ini kita telah pun selesai salurkan kepada semua negeri.

"Bagi murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 dan pelajar Tingkatan 6 semester 2, ia akan dilaksanakan mulai 16 Februari manakala Tingkatan 6 baharu pula pada 1 Julai depan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek cura BAP peringkat negeri Perak Tahun 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 1 di Menglembu pada Isnin.

Menurut Kah Woh, seramai 354,540 murid daripada 1,101 sekolah seluruh Perak mula menerima BAP dengan unjuran peruntukan sebanyak RM53.1 juta.

"BAP mula diperkenalkan sejak tahun 2012 sebagai bantuan tunai sekali bayar yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa.

"Pemberian BAP ini diteruskan bagi setiap murid tanpa mengira latar belakang pendapatan ibu bapa atau penjaga," katanya.

Jelas beliau, agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kaedah pengkreditan ke akaun bank murid atau ke akaun bank ibu bapa akan dilaksanakan bergantung kepada sekolah dan pemilihan ibu bapa.

"Apa yang penting kita hendak pastikan tiada sebarang ketirisan atau pemotong dalam agihan bantuan ini kepada setiap murid," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!