Kelantan peruntuk RM41 juta bantuan kewangan PBT

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menambah bantuan kewangan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menaik taraf dan menyelenggara taman rekreasi serta tempat menarik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, tahun ini sebanyak RM41 juta diperuntukkan untuk tujuan itu berbanding RM28.6 juta tahun lalu.
Beliau memberitahu, tambahan bantuan itu juga sebagai usaha meningkatkan jumlah kawasan rekreasi sebagai menyahut dasar negara yang mahu lebih banyak pembinaan taman runtuk beriadah.
"Kita menyasarkan pembinaan satu taman rekreasi untuk satu Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun kecil kita mahu masyarakat setempat keluar beriadah bersama keluarga pada setiap hujung minggu dan mengamalkan budaya sihat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2025.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Hilmi memberitahu, sebelum ini PBT sudah menaik taraf dan melakukan penyelenggaraan membabitkan banyak tempat menarik di seluruh kawasan.
"Kita juga terpaksa membaik pulih peralatan dan taman permainan kanak-kanak yang rosak selain persediaan Tahun Melawat Malaysia dengan membina lebih banyak tempat menarik," katanya.
Jelas beliau, tahun lalu jumlah peruntukan untuk kebersihan dan keceriaan ialah sebanyak RM7.8 juta manakala RM1.5 juta untuk tujuan pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal dan RM16.2 juta untuk projek pembangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!