Lans Koperal Thierry masih dalam pemerhatian pakar

KUALA LUMPUR - Anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong, Rabu lalu, masih berada dalam pemerhatian rapi doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy masih menjalani rawatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu kini dipantau secara klinikal oleh pasukan pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ini bagi memastikan saraf dan urat-urat yang disambung dapat berfungsi semula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, anggota polis berkenaan dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan kepakaran, sebelum segera dibawa ke Dewan Bedah Utama bagi pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya
Pembedahan dilakukan selepas pasukan pakar menjalankan pemeriksaan serta penilaian terperinci terhadap kecederaan dialami anggota berkenaan..
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan HKL atas kejayaan pembedahan berkenaan.
Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K R Nair dilaporkan berkata, pembedahan selama lapan jam itu melibatkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat.
Pembedahan itu diketuai Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL, Dr R Allan Ravi dan Dr Aziz Sabbir Husain dengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL serta pasukan anestesiologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
