PRN Melaka: Polis kemuka 32 kertas siasatan kepada AGC

MELAKA - Polis telah mengemukakan 32 kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kini menunggu arahan lanjut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan itu susulan 42 laporan polis diterima sepanjang 14 hari tempoh berkempen dengan antara isu dilaporkan ialah perbuatan mencabut dan membakar bendera serta ucapan didakwa mengandungi unsur hasutan.
"Polis membuka 32 kertas siasatan dan siasatan secara profesional dilakukan tanpa memihak kepada mana-mana pihak atau parti,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh pada Sabtu.
Mengenai ucapan seorang individu berpengaruh daripada sebuah parti ketika berkempen, Mohd Khalid berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung ucapan itu dan mengemukakannya kepada AGC.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan. Individu itu juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya.
Selain itu, Mohd Khalid berkata, keadaan keselamatan di Melaka adalah terkawal tanpa sebarang insiden yang menimbulkan kebimbangan sepanjang proses pengundian berlangsung hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 3,300 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN Melaka yang juga melibatkan kira-kira 1,800 petugas daripada kontinjen luar.
Mohd Khalid berkata, selepas proses pengundian tamat pada jam 6 petang, polis akan mengawal pusat penjumlahan undi yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai dan penyokong parti.
Beliau juga berharap semua pihak akan menjaga tata susila serta mematuhi undang-undang supaya semua proses itu berlangsung dengan baik.
PRN Melaka ke-16 melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
