PSKL 2040 bakal realisasi Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua

Khalid (tengah) melancarkan PSKL2040 sambil diiringi oleh Shahruddin (kiri) dan Nor Hisham di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Khalid (tengah) melancarkan PSKL2040 sambil diiringi oleh Shahruddin (kiri) dan Nor Hisham di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) menggariskan visi bagi membangunkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya untuk semua.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bagi merealisasikan usaha itu, deraf PSKL 2040 telah merumuskan enam matlamat dengan 21 hala tuju strategik dan 71 tindakan.

Beliau berkata, enam matlamat holistik berkenaan digariskan bagi mencapai pelbagai agenda bersama dan sebagai kesinambungan aspek perancangan bandar raya itu.

“Secara keseluruhan, pelaksanaan PSKL 2040 akan diterjemahkan dalam Pelan Pengurusan Bandar dan Pelan Pengurusan Spartial.

“Maklumat dan keterangan lanjut deraf pelan ini boleh didapati melalui naskhah laporan yang dijual mulai hari ini (semalam),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSKL2040 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Khalid berkata, visi PSKL2040 perlu selaras dengan New Urban Agenda (NUA) dan Rancangan Fizikal Negara (RFN) dengan mengutamakan perancangan menyeluruh serta tidak membelakangkan mana-mana pihak.

Beliau berkata, visi baharu itu akan mengambil kira aspirasi warga kota dalam membangunkan bandaraya Kuala Lumpur dengan dinamik berprinsipkan pertumbuhan yang sejahtera dan berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

“PSKL2040 menetapkan hala tuju pemajuan Kuala Lumpur yang menyasarkan keseimbangan dalam perancangan bandar dalam menangani cabaran yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, seluruh warga Kuala Lumpur diminta memeriksa dan mengemukakan pandangan atau ulasan masing-masing terhadap pelan itu menerusi borang disediakan.

Katanya, semua pandangan akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pendengaran awam yang dikendalikan oleh pakar-pakar perancangan bandar.

“Bagi memudahkan laporan ini diperiksa, satu pameran akan dilaksanakan selama sebulan bermula hari ini (semalam) sehingga 18 Mac depan di ruang legar bangunan DBKL dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.