PM beri sumbangan RM80,000 kepada mangsa kebakaran Tanjung Dawai

TANJUNG DAWAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan sebanyak RM80,000 kepada 16 buah keluarga terjejas kebakaran di Rumah Panjang di sini, dalam kejadian 5 Januari lalu.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim yang menyampaikan sumbangan berkata, setiap keluarga menerima sebanyak RM5,000 terdiri daripada 14 buah rumah terbakar dan dua buah lagi terjejas setelah terputus bekalan elektrik kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Saya dimaklumkan hari ini kita masih lagi menunggu laporan daripada pihak bomba untuk mengetahui lebih lanjut apakah sebab dan punca kepada insiden kebakaran tersebut.
"Saya juga telah diarahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk turun jumpa dengan mangsa-mangsa dan juga menyampaikan sumbangan kepada semua 16 keluarga yang terkesan dengan jumlah sumbangan keseluruhan berjumlah sebanyak RM80,000," katanya.
Beliau ditemui ketika hadir menyampaikan Peruntukan Khas YAB Perdana Menteri di PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng di sini pada Ahad.
Menurut Kamil, bantuan disampaikan sedikit sebanyak diharap dapat menampung beban keluarga dan menggunakannya untuk mencari penempatan sementara.
Dalam masa sama, beliau juga mengharapkan agar jawatankuasa penduduk melihat alternatif lain bagi mencari penempatan baharu buat mangsa kerana sehingga kini masih berlindung di PPS.
"Jadi sebab itu kita hari ini turun dan bagi sumbangan awal supaya dapat digunakan bagi menampung sedikit keperluan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sebanyak 14 buah rumah terbakar Ahad lalu sehingga ada yang tinggal sehelai sepinggang.
Terdahulu, kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS turut menerima kunjungan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil yang menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM132,000 bagi 12 ketua keluarga yang bekerja sebagai nelayan di mana setiap keluarga menerima sebanyak RM11,000 sebagai bantuan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!