Gelombang kedua banjir di Johor diramal Rabu hingga Sabtu

KOTA TINGGI - Johor dijangka berdepan gelombang kedua banjir bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkongsi perkara itu berdasarkan jangkaan dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ketika taklimat banjir sewaktu meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sini pada Ahad.
"MetMalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan dijangka berlaku di Johor pada 15 hingga 18 Januari ini.
"Justeru, saya minta seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.

Onn Hafiz berkata, menerusi lawatan terbabit juga, beliau diberi taklimat mengenai tiga Projek Tebatan Banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini berada dalam fasa pelaksanaan di daerah Kota Tinggi.
"Saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan ini bagi mengurangkan impak banjir yang sering melanda negeri Johor.
"Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius agar kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan," ujarnya.
Setakat jam 5 petang pada Ahad, bilangan mangsa banjir di negeri ini seramai 3,876 orang daripada 1,083 keluarga yang kini berlindung di 37 PPS di daerah Kota Tinggi, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!